TAHAP kepatuhan rakyat akan menjadi penentu kepada hasrat kerajaan dalam mengawal dan mengurangkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini. Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media hariannya pada Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: 67 kes positif direkod termasuk 49 warga asing, tiada kematian terkini Covid-19 Menurut Dr Noor Hisham, pihaknya juga membuat pemantauan setiap hari dan sasaran satu angka mungkin dapat dicapai tidak lama lagi. "Kes-kes masih terkawal walaupun ada kluster baharu. Apa yang perlu dilaksanakan, kita lihat perkembangan kes-kes baharu yang dikesan dan juga sama ada rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. "Kalau kepatuhan tinggi, InsyaAllah dapat kawal dan kurangkan lagi kes. Walaupun kita ada tiga zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kita telah menjalankan pengesanan kes dan kluster baharu telah dikenalpasti. "Kita harap kita dapat kekalkan jumlah dua angka kes setiap hari dan sasaran kita untuk mencapai satu angka dalam tempoh satu atau dua minggu lagi," ujarnya. Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khasnya telah mengumumkan PKPB disambung selama empat minggu sehingga 9 Jun 2020, sekali gus bermakna beberapa perayaan yang akan berlangsung untuk tempoh itu tidak dapat diraikan seperti biasa. Dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham turut memperincikan ujian-ujian saringan yang dilakukan ke atas warga asing. "Bukan warganegara yang telah kita saring setakat ini 24,125 individu, dan kes positif ialah 1,132. "Mereka yang dalam rawatan adalah 487 kes bersamaan 43 peratus dan bukan warganegara yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ada tiga dan yang sembuh seramai 641 dan ada melibatkan empat kematian setakat ini," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!