suria

72,000 penghuni penjara seluruh negara bebas Covid-19, banduan baharu dikuarantin - Jabatan Penjara

Pemeriksaan kesihatan antara langkah yang diwajibkan di setiap penjara melibatkan banduan dan kakitangan institusi itu.

KEBIMBANGAN berlaku penularan wabak Covid-19 dalam kalangan banduan di dunia tidak dinafikan, hal sama turut bermain di fikiran pelbagai pihak di negara ini.

Bagi meredakan keadaan, jurucakap Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan, setakat ini, tiada kes positif Covid-19 melibatkan kira-kira 72,000 banduan di seluruh negara.

Katanya, jabatan berkenaan mengutamakan peraturan ketat untuk memastikan semua institusinya kekal bebas virus itu.

Susulan itu, langkah dan garis panduan khusus dilaksanakan untuk memastikan tiada penularan virus itu di semua insitusi penjara.

"Semua kakitangan penjara perlu melalui ujian kesihatan untuk memastikan suhu badan mereka di bawah 38 darjah Celsius dan jika ada yang mencatat suhu tinggi mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut pegawai perubatan," kata jurucakap itu kepada The Star.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar meminta pihak kehakiman untuk tidak menetapkan hukuman penjara kepada pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak kesesakan melampau di penjara yang boleh mengakibatkan penularan wabak.

Kata jabatan itu lagi, topeng muka dan cecair pembersih tangan disediakan untuk semua kakitangan dan banduan.

"Malahan, banduan baharu akan dikuarantin bagi memeriksa tahap kesihatan dan memastikan mereka tidak membawa sebarang jangkitan atau penyakit berjangkit ke institusi penjara," katanya.

Selain itu, inisiatif juga diambil untuk melakukan sanitasi di semua penjara bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan banduan.

"Setiap banduan akan diberi perhatian khusus dan status kesihatan mereka akan dipantau sepanjang tempoh di penjara.

"Jika ada banduan yang menunjukkan simptom Covid-19, individu itu akan dikuarantin di blok isolasi bagi mengelak virus merebak," katanya.

Pada masa sama, jabatan itu berharap ahli keluargan dan semua pihak memberi kerjasama penuh dan yakin dengan keupayaan jabatan untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap institusi korektif itu.

Laporan sebelum ini menyebut, lebih 30,000 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara di Amerika Syarikat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

penjara, Covid-19, banduan, suhu, kuarantin

Artikel Lain