suria

Sokongan tak berbelah bahagi BN kepada Muhyiddin - Ahmad Zahid

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto: Azhar Mahfof/The Star

BARISAN Nasional (BN) memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang percubaan untuk mengemukakan usul tidak percaya akan menyaksikan semua ahli parlimen gabungan itu akan mengundi secara en-bloc menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat dewan tertinggi gabungan itu, yang dihadiri oleh anggota komponen Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

ARTIKEL BERKAITAN: Speaker Parlimen terima usul undi tak percaya Tun M terhadap Muhyiddin

Ahmad Zahid juga mengatakan BN akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Beliau selain itu menegaskan bahawa BN adalah gabungan terbesar dengan 43 kerusi Parlimen yang menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seterusnya membentuk kabinet baharu dikenali sebagai kerajaan PN.

"Kami telah memutuskan bahawa jika usul tidak percaya diajukan di Parlimen, pendirian kami adalah semua anggota parlimen BN akan mengundi secara en-bloc untuk menyokong Muhyiddin," katanya ketika dihubungi.

BN terdahulu mengadakan mesyuaratnya pada Selasa (12 Mei).

Pada 8 Mei, usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dikemukakan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan diterima oleh Dewan Rakyat.

Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata usul itu diterima namun tidak menyatakan sama ada ia dibawa pada persidangan Dewan Rakyat, 18 Mei ini.

Walaubagaimanapun menerusi notis yang dikeluarkan sebelum ini, hanya undang-undang dan hal-hal kerajaan yang berkaitan dengan isu memerangi Covid-19 sahaja akan menjadi fokus.

Ia menyatakan bahawa tidak akan ada sesi soal jawab, sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis atau usul yang dikemukakan di Dewan. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

BN, Muhyiddin, Ahmad Zahid, Speaker, Parlimen

Artikel Lain