SEBAIK sahaja sesi persekolahan mula dibuka kelak, bilangan pelajar di dalam sesebuah kelas akan dihadkan untuk memastikan penjarakkan sosial dapat dilaksanakan bagi mengelakkan penularan Covid-19, lapor Berita Harian. Menurut Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Jidin, satu kelas hanya boleh menempatkan purata maksimum antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa. Ujar beliau, ia adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah pasca Covid-19 yang akan diperincikan pihaknya, nanti.ARTIKEL BERKAITAN: UPSR, PT3 tahun ini dibatalkan, SPM, STPM dan SVM ditunda ke tahun depan "Kalau dulu dalam kelas ada 35 orang tapi dalam keadaan baharu ini, tidak boleh ramai. Dalam konteks penjarakan sosial ini, paling ramai adalah 16 ke 17 orang dan bagi sekolah yang mempunyai kelas yang besar, jumlah pelajar boleh mencecah 20 orang. "Ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua. Selain itu, kita perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh. "Justeru, kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas COVID-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan mereka," katanya pada wawancara khas dalam program "Soal Rakyat" yang disiarkan di TV3, malam Isnin. Selain SOP bilangan had pelajar di dalam kelas, SOP di kantin juga akan diperketatkan dengan memastikan ia tidak sesak seperti kebiasaan yang mendedahkan lebih risiko jangkitan, ujarnya. Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Radzi berkata kementerian akan memastikan SOP itu dapat dipatuhi sepenuhnya melalui pembukaan sesi pembelajaran kepada pelajar kelas peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Enam terlebih dahulu, sebelum dibuka kepada tahap lain. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!