suria

“Duit tu boleh guna buat perkara lain” - Kompaun untuk rentas negeri balik kampung, Ismail Sabri saran patuh SOP

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain (kiri) melihat Lans Koperal Muntazar Mohd Solah melakukan imbasan Kod Respons Pantas (QR) aplikasi Gerak Malaysia yang digunakan orang awam untuk pergerakan rentas negeri selama empat hari berakhir 10 Mei lalu. fotoBERNAMA

MEMANDANGKAN ramai masih cuba merentas negeri dengan alasan mahu baik kampung, kerajaan memutuskan untuk mengenakan kompaun terhadap mereka yang ingkar peraturan tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, sejak Jumaat sebanyak 500 kenderaan cuba melakukan rentas negeri tetapi diarahkan berpatah balik oleh polis.

“Jadi saya nak ingatkan sekatan jalan raya sudah pun bermula. Sejak semalam polis masih lagi guna budi bicara dan memberi nasihat dan amaran.

“Walaupun sudah ada yang dikenakan tindakan sebab melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan mereka yang balik kampung diarah berpatah balik.

“Tapi mesyuarat hari ini memutuskan tindakan kompaun boleh dimulakan pihak polis,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Sabtu Petang.

Bagaimanapun Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan kompaun.

“Jadi saya harap tak perlulah sampai kompaun. Duit bayar kompaun tu boleh guna untuk perkara-perkara lain.

“Jadi yang pentingnya untuk elak dikompaun patuh kepada setiap arahan dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Setakat Jumaat, beliau berkata sebanyak 146 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri telah dilaksanakan dengan 238,500 kenderaan turut diperiksa.

Mereka yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain