suria

Benarkan atau tangguh haji? Malaysia putuskan selepas pengumuman rasmi Arab Saudi - Ismail Sabri

Keputusan berhubung status menunaikan haji bagi jemaah Malaysia bergantung kepada keputusan Arab Saudi. Foto: Saudi Press Agency/Reuters

KEPUTUSAN berhubung status menunaikan haji bagi jemaah Malaysia untuk tahun ini adalah bergantung kepada pengumuman yang akan dibuat oleh kerajaan Arab Saudi kelak.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat ketetapan sebaik sahaja Arab Saudi membuat pengumuman rasmi mengenai status ibadah haji untuk musim ini.

Difahamkan setakat hari ini, kerajaan Arab Saudi belum membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Umat Islam diminta tangguh persiapan haji dan umrah - Arab Saudi

ARTIKEL BERKAITAN: KKM masih teliti permohonan Taska, pertimbang kaedah inovasi baharu – KP Kesihatan

"Setakat hari ini seperti kta tahu kerajaan Arab belum buat sebarang pengumuman sama ada tahun ini boleh mengerjakan haji atau tidak. Sehingga kini mereka keluarkan arahan perintah berkurung untuk hari raya sahaja.

"Jadi saya percaya keputusan untuk menghantar atau tidak (jemaah Malaysia) tertakluk kepada pengumuman dibuat oleh Arab Saudi.

"Sebaik sahaja Arab Saudi buat keputusan, mungkin Menteri Hal Ehwal Agama akan buat pengumuman berkaitan jemaah Malaysia. Jadi kita tunggu, no point kalau putuskan sekarang sedangkan Arab Saudi belum buat sebarang keputusan pun," katanya dalam sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.

Terdahulu, beliau ditanya oleh pemberita sama ada Malaysia akan mengikut langkah Singapura yang menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji 2020 bagi jemaahnya ke tahun berikutnya berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Ismail berkata kerajaan sehingga kini masih belum mengeluarkan pengumuman rasmi untuk menarik semula arahan bekerja dari rumah (work from home), meskipun kebanyakan jabatan sudah mula beroperasi sejak awal bulan lalu.

Menurutnya, arahan bekerja dari rumah masih kekal sehingga hari ini kerana memahami masalah yang dihadapi segelintir ibu bapa yang terpaksa menjaga anak di rumah memandangkan taska dan sekolah masih belum dibuka.

"Kita sudah membuka pejabat kerajaan walaupun tak sepenuhnya. Daripada jumlah yang dibuka ini, 80 peratus bekerja di pejabat dan 20 peratus masih bekerja di rumah sebab alasan taska masih belum dibuka, sekolah masih belum dibuka.

"Yang ada anak-anak kecil dan terpaksa dihantar ke taska tapi setakat ini belum dibuka, mereka masih boleh bekerja di rumah. Arahan bekerja dari rumah masih kekal hingga hari ini," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

haji, Arab Saudi, jemaah, Malaysia

Artikel Lain