suria

“Bukan pengasingan tapi khaskan di satu tempat” – Dr Noor Hisham perjelas SOP taska tidak diskriminasi anak ‘frontliner’

Isu operasi Taska ketika pandemik Covid-19 menjadi persoalan segelintir pihak. Gambar hiasan/Foto Bernama

TIMBUL dakwaan diskriminasi terhadap anak-anak petugas barisan hadapan atau frontliner yang ditempatkan di taska.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa tidak timbul isu pengasingan atau diskriminasi terhadap anak-anak petugas barisan hadapan terutamanya warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penempatan di Taska.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) di taska, yang masih di peringkat cadangan itu dan belum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, petugas barisan hadapan terutamanya yang bekerja di hospital adalah satu daripada kumpulan berisiko untuk terkena jangkitan dan begitu juga dengan ahli keluarga mereka.

"Bukan kami sekat. Kami khaskan satu tempat untuk anak-anak petugas barisan hadapan. Kalau taska di hospital, tidak ada masalah. Namun, kalau bergaul dengan kanak-kanak lain, perlu khaskan.

"Ini bukan pengasingan tetapi khaskan di satu tempat. Kami memberi pengawasan khusus kepada anak petugas kesihatan. Mungkin cara kita mengolah perkataan seolah-olah seperti kita asingkan, namun sebenarnya ia memberikan perhatian khusus kepada mereka," katanya semasa menjawab hal berkaitan garis panduan berkaitan operasi taska, yang didakwa sebagai satu bentuk 'diskriminasi' terhadap anak-anak petugas barisan hadapan.

Dr Noor Hisham berkata, petugas kesihatan juga sentiasa diingatkan mematuhi langkah keselamatan apabila kembali ke pangkuan keluarga termasuk tidak terus menyentuh anak-anak mereka sebelum melakukan amalan pembersihan diri.

Beliau berkata, SOP taska itu akan diperhalusi dan dibentangkan kepada MKN sebelum dilaksanakan.

"KKM ingin mengulangi bahawa tiada sebarang diskriminasi dalam memberi rawatan Covid-19 kepada semua, sama ada kepada warganegara atau bukan warganegara, dewasa, atau kanak-kanak," katanya. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Taska, frontliner,

Artikel Lain