suria

Tun M, Mukhriz, Syed Saddiq antara 5 digugur keahlian dari Bersatu

Surat kepada Tun M dan empat yang lain diserahkan pada Rabu.

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digugurkan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berkuatkuasa serta merta, ia turut melibatkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia diumumkan pada Rabu oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya.

Mereka berlima diserahkan surat berkenaan dan keputusan dibuat setelah mereka enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

"Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB Tun juga telah menyertai dan duduk di blok pembangkang.

"Maka dengan ini dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, keahlian YB Tun dalam Bersatu adalah terhenti serta merta," katanya dalam surat itu.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka tidak dipecat sebaliknya keluar hasil tindakan sendiri.

"Apabila mana-mana ahli parlimen Bersatu memilih untuk menyertai kelompok yang bukan bersama parti sendiri dalam parlimen, maka secara automatik keahlian mereka gugur. Ia bukan satu perkara mengejutkan.

"Saya mahu tegaskan bahawa mereka tidak dipecat. Tetapi mereka keluar hasil tindakan sendiri. Sebagai bandingan, apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu. Tetapi tindakan dia sendiri menyebabkan secara automatik dia berada di luar rumah. Itulah yang berlaku dalam kes ini," ujarnya.

Menurut Wan Saiful lagi, tidak ada satu pun parti di muka bumi ini yang membenarkan ahli parlimen mereka duduk di kerusi yang berbeza dari kedudukan parti.

Malah, dia menyeru semua ahli agar kembali memperkukuh parti dan mengorak langkah ke hadapan serta tidak lupa untuk mengenang jasa tokoh-tokoh besar dalam parti itu.

"Baik orang paling atas mahupun orang paling bawah, semuanya mesti duduk dengan parti sendiri. Tolong bagitahu parti mana di dunia ini yang pernah benarkan ia berlaku? Tiada masalah untuk berbeza pandangan tetapi mestilah dari blok parti sendiri, bukan di luar.

"Saya menyeru semua ahli agar kembali memperkukuh parti dan mengorak langkah ke hadapan. Kita kenang jasa tokoh-tokoh besar. Kita hargai segala sumbangan mereka dan jangan nafikan betapa besarnya jasa mereka. Dan kita gunakan semua itu sebagai asas untuk membawa parti lebih maju ke hadapan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain