PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengambil tindakan terburu-buru terhadap bekas pengerusi parti Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal. Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebarang tindakan haruslah dilakukan dengan adil ke atas semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti. “Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti. Saya yakin dan percaya BERSATU akan terus teguh. Kita telah menghadapi banyak cabaran dari awal parti ini saya tubuhkan. “Kita telah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan. Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita, ” katanya yang juga merangkap pemangku pengerusi parti itu dalam satu kenyataan pada Sabtu. Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu sidang media khas menegaskan Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu tidak dipecat daripada parti itu, sebaliknya terhenti keahlian mereka kerana melanggar perlembagaan parti. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!