UMAT Islam di Selangor diharapkan bersabar mengenai solat orang awam di masjid dan surau di negeri itu, berikutan pandemik Covid-19. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat dan solat lima waktu untuk orang awam di masjid serta surau di Selangor dilanjutkan sehingga 30 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah bahawa dalam tempoh itu, pelaksanaan solat Jumaat masih hanya dibenarkan dilakukan di 39 masjid terpilih dengan jumlah jemaah yang ditetapkan seperti diumum sebelum ini. "Semakan semula penangguhan solat itu untuk orang awam akan dilakukan selepas minggu pertama bulan ini sekiranya jangkitan wabak Covid-19 menurun dengan konsisten agar jumlah jemaah solat Jumaat dapat ditambah dan masjid dapat dibuka secara berperingkat lebih awal khususnya di kawasan zon hijau," katanya dalam satu kenyataan, Isnin. Mohamad Munir berkata, laungan azan solat lima waktu tetap akan berkumandang seperti biasa dan hanya imam, bilal serta siak sahaja dibenarkan menunaikan solat berkenaan di masjid serta surau di negeri ini dalam tempoh tersebut, selain program ceramah melalui media sosial terus dijalankan. Pada masa sama, katanya, Sultan Sharafuddin menyeru supaya rakyat terus mengamalkan penjarakkan sosial, memakai penutup hidung dan mulut selain mematuhi arahan dan garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memulihkan keadaan agar umat Islam dapat kembali mengimarahkan masjid. Pada 13 April lepas, Sultan Sharafuddin menitahkan agar solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti ceramah di masjid, surau dan musollah, di negeri ini ditangguhkan sehingga 31 Mei (semalam) bagi mengekang penularan Covid-19. Namun pada 14 Mei, Sultan Selangor berkenan supaya solat Jumaat dilakukan di 39 masjid terpilih di negeri ini dengan jumlah jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja susulan penurunan kadar jangkitan wabak Covid-19. - Bernama Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!