suria

Syarikat paksa kuarantin 14 hari, cuti tanpa gaji selepas rentas negeri bertentangan SOP kerajaan - “Mereka pandai-pandai buat sendiri”

Ketetapan yang dibuat sendiri oleh majikan bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia tidak dibenarkan sama sekali.

SETIAP majikan diingatkan agar tidak membuat keputusan bertentangan dengan garis panduan dikeluarkan kerajaan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian bagi mengulas isu majikan yang membuat ketetapan berbeza ke atas pekerja mereka.

Antaranya, mewajibkan kuarantin 14 hari selepas perjalanan rentas negeri, menolak cuti tahunan dan juga cuti tanpa gaji.

Menurut Ismail Sabri, perkara itu bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia tidak dibenarkan sama sekali.

"Tindakan tersebut tidak dibenarkan sebab dari segi peraturan MKN, rakyat yang pulang dari luar negara mesti dikuarantin wajib 14 hari.

"Beberapa negeri seperti Sabah dan Sarawak, rakyat yang pulang dari semenanjung juga dikuarantin wajib. Tapi di semenanjung, rentas negeri kita tak benarkan.

"Tetapi yang dapat kebenaran polis untuk merentas negeri tidak diwajibkan membuat kuarantin 14 hari," ujarnya.

Menurut Ismail, ketetapan itu merupakan idea segelintir majikan yang mana ia merupakan satu kesalahan.

"Jadi mereka pandai-pandai buat sendiri sahajalah. Dan adalah salah kerana paksa pekerja kuarantin 14 hari, 14 hari dikira sebagai cuti tanpa gaji.

"Itupun dikira salah sebab tak ikut garis panduan MKN," jelasnya lagi.

Malah katanya, Kementerian Sumber Manusia juga boleh mengambil tindakan jika ada laporan mengenai kes-kes berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

rentas negeri, cuti, gaji, kuarantin, majikan

Artikel Lain