suria

Ismail Sabri tegur Rapid KL tak ikut SOP, umum tiada penjarakkan sosial dalam tren - “Tak boleh sewenang-wenang ubah apa ditetapkan kerajaan”

Ismail Sabri menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi arahan kerajaan termasuk pelaksanaan penjarakkan sosial. Gambar hiasan Foto AZMAN GHANI / The Star

RAPID Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) tidak mempunyai kuasa untuk mengubah dasar atau peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata demikian bagi mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh Rapid Rail pada Selasa bahawa tiada lagi langkah penjarakkan sosial di tren dan stesen kendalian Rapid KL mulai Rabu.

"Apabila kerajaan menetapkan perlu ada penjarakkan sosial di dalam mana-mana rel, mereka tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengubah apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Kalau mereka ingin membuat sebarang perubahan, mereka perlu memohon daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membuat sebarang perubahan.

"Bukan tiba-tiba umum mengikut apa yang mereka rasa perlu umum," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Ismail Sabri bagaimanapun memahami masalah yang dihadapi mereka berikutan pelaksanaan penjarakkan sosial yang menyebabkan pengurangan jumlah penumpang, sekali gus meningkatkan kos operasi.

"Kos ini bukan sahaja di peringkat rel, kereta api, MRT, LRT dan sebagainya, tetapi juga pesawat-pesawat penerbangan.

"Apabila kita hadkan hanya 60 peratus penumpang dalam pesawat, mereka juga mengalami kerugian," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan kini mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut bagi mencari penyelesaian yang terbaik.

"Tapi mereka jangan membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada kerajaan kerana ini adalah tindakan yang salah.

"Jadi, bukan atas kebenaran kita, bukan kebenaran mesyuarat khas menteri-menteri atau MKN. Tidak ada keputusan yang kita buat," tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, langkah tiada penjarakkan sosial itu sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun.

Menurut Abdul Hadi, ia juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pengangkutan untuk PKPP yang membenarkan kapasiti 100 peratus kepada semua perkhidmatan rel kecuali ETS dan KTM Intercity.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain