MAYAT seorang lelaki ditemui dalam parit di kawasan Waterfall Jalan Kebun Bunga, Georgetown, Pulau Pinang dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian, pada Ahad. Mangsa S. Govindaraju, 51, sebelum ini dilaporkan dua hari tidak pulang ke rumah dan keluarganya telah membuat laporan polis mengenai kehilangannya. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal Wan Chik Ariffin Mohd Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan telah menemui mayat lelaki yang masih berpakaian dalam kawasan parit pada 6.10 petang. "Pihak bomba terus ke lokasi kejadian dan menjalankan kerja mengangkat mayat sebelum menyerahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi bedah siasat," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki itu bekerja sebagai pembantu kedai dan dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemui berdasarkan keadaan mayat. Beliau berkata, menurut keluarga mangsa, dalam beberapa hari kebelakangan ini lelaki itu berperwatakan agak pelik seperti orang dirasuk dan sering bercakap seorang diri seakan meracau malah mangsa juga dimaklumkan sering mendapat sawan dan tarik dalam tempoh seminggu lepas. "Kali terakhir keluarga berjumpa dengan lelaki itu pada hari Jumaat, semasa membawa dia untuk berubat tradisional dan selepas menerima rawatan nampak keadaannya kembali pulih sedikit sebelum keluar seorang diri pada 10.30 malam," katanya. Soffian berkata, berikutan mangsa tidak pulang ke rumah, keluarganya telah membuat laporan polis berhubung kehilangannya sebelum mayat lelaki itu ditemui orang awam dalam parit. Polis yang membuat pemeriksaan pada tubuh badan mangsa, mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau elemen jenayah malah siasatan di tempat kejadian juga tidak menjumpai sebarang objek di tempat kejadian. "Polis siasat kes itu sebagai kematian mengejut setakat ini dan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa akan dijalankan pada Isnin," katanya.- BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!