suria

Awas! Kes kematian Adib masih diteruskan, pelaku diburu

Kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib masih diteruskan pihak berkuasa termasuk PDRM mengesan pelaku yang terlibat dalam insiden pada November dua tahun lalu.

PEMBUNUH Adib diburu!

Kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim masih diteruskan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam insiden pada November dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dua atau lebih individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Adib akibat perbuatan jenayah - Mahkamah Koroner

“Kita masih menunggu hasil siasatan selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian Allahyarham disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

“Oleh sebab itu, pihak polis perlu menjalankan siasatan dan perkara ini sudah dibentangkan dalam Kabinet serta seterusnya Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya, ” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong di Kota Bharu, Ahad.

Beliau berkata, dari segi tempoh untuk mendapat hasil siasatan tetap ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi tetapi bagi kes jenayah tidak ada tempoh masa yang khusus.

“Bagi kes jenayah siasatan akan terus berjalan sehingga berhasil menemukan pelaku untuk dihadapkan ke muka pengadilan, ” katanya.

Dilaporkan, Mahkamah Koroner memutuskan kematian anggota bomba Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di Selangor pada November 2018 adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues itu selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

“Kecederaan 'blunt chest trauma' yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu, ” katanya.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN). - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain