suria

Strok, sakit jantung dan paru-paru... bekas pesakit Covid-19 berdepan komplikasi kesihatan akibat sistem imuniti badan rendah

Wujud komplikasi dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 khususnya dalam kategori empat dan lima.

BIARPUN sudah pulih, timbul persoalan sekiranya terdapat komplikasi tertentu melibatkan bekas pesakit Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ada kemungkinan berlakunya kerosakan paru-paru khususnya bagi pesakit yang turut dijangkiti radang sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

"Kita lihat sekarang ini, kes kategori empat dan lima melibatkan radang paru-paru. Kalau mereka yang memerlukan bantuan pernafasan (kategori lima), bererti banyak radang di dalam paru-paru.

"Ada kemungkinan paru-paru akan rosak dan sebagainya. Jadi kajian telah djalankan di luar negara. Kita pun jalankan kajian, kita melihat kajian jangka panjang kepada pesakit yang pernah diberi bantuan pernafasan akan ada kesan dalam tempoh tiga bulan, enam bulan dan sebagainya," ujarnya menerusi sidang media pada Rabu.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain paru-paru, Dr Noor Hisham berkata penyakit Covid-19 turut memberi kesan kepada saluran darah.

Akibatnya, akan wujud fenomena pembekuan darah kepada pesakit sehingga berlaku serangan angin ahmar, sakit jantung dan sebagainya.

"Kalau pembekuan darah berlaku di kepala, kita dapat strok. Berlaku di jantung, dapat sakit jantung.

"Dan ada dua atau tiga pesakit kita kesan... berlaku di usus. Jadi salur darah ke usus, salur darah ke buah pinggang. Jadi buah pinggang rosak dan usus pun terkesan. Itulah kesan," ujarnya lagi.

Antara komplikasi lain termasuklah sistem imuniti tubuh yang rendah dalam kalangan bekas pesakit.

Jelasnya, ia boleh menyebabkan pesakit terlibat lebih mudah mendapat jangkitan kuman.

Jadi katanya, rawatan susulan sangat penting khususnya untuk pesakit kategori empat dan lima.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain