suria

Bot karam sejak Isnin, mangsa kelapan akhirnya ditemui terapung berhampiran Pulau Perhentian

Operasi SAR akan ditutup secara rasmi selepas ia dimulakan sejak Isnin lepas. fotoBERNAMA.

MANGSA kelapan dan terakhir tragedi bot terbalik pada Isnin lepas, ditemukan berhampiran Pulau Perhentian, petang Ahad.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mayat Arman Ismail, 43, ditemukan nelayan terapung-apung di kawasan pulau berkenaan pada pukul 2.20 petang ini.

“Nelayan itu kemudiannya menghubungi bot APMM yang kebetulan berada di kawasan itu dalam usaha mencari mangsa, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat operasi SAR di Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan.

Mengulas lanjut, Muhd Nur Syam yang juga komander operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu berkata, mayat Arman ditemukan kira-kira tiga batu nautika dari rakannya, Che Wadi Bakar, 44, yang ditemui pada pukul 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata, identiti mayat disahkan oleh ahli keluarganya selain penemuan dompet yang mempunyai kad pengenalan diri di badan mangsa.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Muhd Nur Syam berkata, dengan penemuan mangsa terakhir itu, operasi SAR akan ditutup secara rasmi selepas ia dimulakan sejak Isnin lepas.

“Pada hari ini seramai 81 anggota yang terdiri polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Persatuan Nelayan Bachok, selain anggota APMM Kelantan menyertai gerakan SAR.

“Kejayaan menemukan kesemua mangsa yang hilang dengan mendapat kerjasama penuh nelayan tempatan, akan dijadikan model kerja-kerja menyelamat pada masa hadapan, ” katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain