SELAIN sifar penularan tempatan, pandemik Covid-19 di Malaysia setakat Rabu turut menyaksikan kes di Depot Tahanan Imigresen (DTI) hanya berbaki tiga pesakit sahaja.Malah, baki yang ada kini masih lagi menerima rawatan di hospital sementara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, trend penginapan menjadi salah satu punca jangkitan dalam kluster itu. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kes positif Covid-19 pada Rabu, tiada penularan tempatan "Berdasarkan pemerhatian dan siasatan yang kita lakukan, salah satu punca jangkitan dalam kalangan pekerja asing kerana trend penginapan mereka. "Mereka yang tidak ada dokumen, mereka tinggal dalam tempat yang sesak, dan berkemungkinan disebabkan itu, kerana seorang individu dijangkiti, kesemua mereka mendapat jangkitan juga," ujarnya. Dr Noor Hisham mengulas perkara itu selepas ditanya sama ada jangkitan berlaku sebelum atau selepas pekerja asing yang ditahan dan dimasukkan ke dalam DTI. Jelasnya lagi, terdapat sekitar 285 warga asing telah menghadiri Perhimpunan Sri Petaling. Malah, sebilangan mereka juga bekerja di pasar borong yang menjadi punca jangkitan Covid-19. "Jadi kita berjaya menangani penularan dengan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan pasar borong. "Kita uji semua dan asingkan yang positif. Ini adalah inisiatif yang kita lakukan dan hari ini kita berjaya kawal jangkitan di pasar borong. "Hari ini kita masih meneruskan saringan di pasar. Tapi kadar positif kurang dari satu peratus. Jadi kita berjaya mengawal penularan dan memutuskan rangkaian jangkitan," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!