PANDEMIK Covid-19 ternyata memberi kesan buat hampir seluruh masyarakat dunia. Tidak terkecuali tentunya golongan pelajar apabila sekolah, universiti dan insitusi pendidikan terjejas dan terpaksa ditutup dalam mengekang penularan wabak itu. Di Malaysia misalnya, selepas hampir empat bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah, kini giliran pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, murid Tahun Lima dan Enam serta pelajar kelas peralihan pula kembali ke sesi persekolahan hari ini. ARTIKEL BERKAITAN: Buat persiapan sambut pelajar esok, guru maut terjatuh dari balkoni bangunan sekolah ARTIKEL BERKAITAN: Wujud peningkatan kes Covid-19, pembukaan 138 sekolah di Sarawak ditangguhkan hingga Ogos Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat ancaman pandemik Covid-19 pada Mac lepas, semua pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah hanya menggunakan pendekatan ‘Home-Based Learning’ bagi meneruskan pembelajaran. Mengambil maklum kekangan dihadapi oleh pelajar, ibu bapa dan guru semasa pelaksanaan pembelajaran dalam talian itu, keputusan pembukaan sekolah diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin dilihat tepat pada masanya bagi memastikan motivasi pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat ditingkatkan. Namun, pihak sekolah dan pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana penularan wabak Covid-19 masih ada dalam komuniti dan setiap orang perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baharu. Sementara itu, pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun Satu hingga Empat pula adalah minggu berikutnya iaitu 22 Julai. Selain pelajar dan guru, ibu bapa juga turut sibuk menyusun kembali jadual, mengatur masa dan menguruskan keperluan harian anak-anak bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar. Pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sebelum ini, sesi persekolahan dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa. Mengenai perkembangan Covid-19, terdapat empat kes baharu pada Selasa, kesemuanya melibatkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.- BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!