suria

KKM teliti semula keperluan jalani kuarantin wajib di pusat khas bagi individu pulang dari luar negara

KKM akan meneliti semula keperluan menempatkan individu yang tiba di tanah air dari negara berisiko tinggi. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti semula keperluan menempatkan individu yang tiba di tanah air dari negara berisiko tinggi, sama ada di hotel atau pusat kuarantin.

Pada masa ini, individu yang diuji negatif semasa tiba di lapangan terbang dibolehkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah.

Namun, baru-baru ini seorang pesakit dalam kluster Novgorod didapati positif Covid-19 walapupun pada awalnya dia diuji negatif untuk wabak berkenaan semasa tiba di lapangan terbang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kluster baharu, PUI Novgorod babit rakyat Malaysia pulang dari Rusia

"Sekarang, kami sedang meneliti kemungkinan melaksanakan kuarantin di pusat kuarantin atau hotel bagi mereka yang tidak memiliki persekitaran yang kondusif di rumah," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada Khamis.

"Dan bagi mereka yang kembali dari kawasan berisiko tinggi, kita mungkin pertimbang untuk menempatkan mereka di pusat kuarantin atau hotel.

"Kami sedang meneliti hal itu," tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata apa yang lebih penting adalah mereka yang pulang mesti menjalani ujian saringan sebelum menaiki pesawat.

"Sekiranya perlu, kami akan mengulangi ujian di KLIA semasa tiba," katanya.

Dr Noor Hisham juga mengatakan bahawa mereka yang mengalami gejala akan segera dimasukkan ke hospital.

Lima kes telah dikesan dalam kluster Novgorod, dengan kes pertama adalah rakyat Malaysia yang kembali dari Rusia pada 5 Julai.

Individu itu telah diuji negatif untuk wabak tersebut, tetapi kemudian pada 7 Julai dia mulai menunjukkan gejala seperti demam dan kesukaran bernafas.

Ujian semula yang dilakukan terhadap individu tersebut mendapati dia positif Covid-19, dan salah seorang ahli keluarganya kemudian turut diadapati positif. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kuarantin, KKM, Novgorod

Artikel Lain