suria

Sultan Selangor perkenan pertambahan jemaah solat Jumaat, fardu

Pertambahan jemaah mengikut jumlah kapasiti sebenar ruang solat di Selangor dibenarkan berkuat kuasa pada Jumaat.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan pertambahan bilangan jemaah menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau seluruh negeri mengikut jumlah kapasiti sebenar ruang solat, berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata pertambahan itu termasuk di surau yang diberi Kebenaran Khas Solat Fardhu Jumaat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan mematuhi pelaksanaan jarak sosial 1.5 meter.

"Bagi solat Jumaat, jemaah masih perlu melalui proses pendaftaran dan penggiliran sepertimana yang ditetapkan sebelum ini.

"Sistem yang lebih efisien sedang dibuat bagi memudahkan jemaah untuk mendaftar dan menerima maklum balas kehadiran solat Jumaat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata kaedah kehadiran jemaah secara terbuka adalah dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas jarak sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi.

Namun, jelasnya, kehadiran jemaah wanita adalah tidak dibenarkan kecuali di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Beliau turut menasihati jemaah agar berwudhu dari rumah, memakai penutup hidung dan mulut, membawa sejadah sendiri serta berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Dalam pada itu, beliau berkata JAIS juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak masjid atau surau serta jemaah.

"Sebarang perlanggaran terhadap ketetapan SOP yang ditetapkan akan diambil tindakan tegas dan JAIS tidak akan teragak-agak menarik semula kelonggaran yang diberikan demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan jemaah serta imej agama Islam," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain