KEJAM! Begitulah yang dapat menggambarkan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang membakar kucing dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pahang. Terbaharu, Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai maklumat mengenai insiden membakar kucing supaya tampil membantu siasatan. Menurut persatuan itu menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya pada Ahad, mereka mendapat maklumat tidak lengkap dengan ada yang mengatakan kejadian berlaku di Pahang namun butiran tidak disertakan untuk siasatan seterusnya. “Malaysia Animal Association menaikkan tawaran ganjaran daripada RM3,000 kepada RM10,000 untuk mana-mana individu atau kumpulan yang boleh mengesahkan aksi bakar anak kucing dengan mencurah minyak lalu mencucuh api menggunakan pemetik api”. Persatuan itu turut merayu agar maklumat lengkap dengan laporan polis dapat diambil sehingga pelaku berjaya ditangkap, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membakar anak kucing itu hidup-hidup sekiranya benar kejadian dan pelaku berada di Malaysia. Terdahulu, persatuan tersebut memuat naik satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar dan perbuatan zalim itu dirakam sendiri oleh pelakunya. Orang ramai digesa untuk memberikan maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-20901097.- BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!