suria

Suami Youtuber Pavithra didakwa miliki senjata berbahaya

Sugu (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh pada Jumaat atas dakwaan memiliki sebilah sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Selasa lalu.

SUAMI kepada Youtuber masakan terkenal, S Pavithra iaitu M.Sugu didakwa memiliki senjata berbahaya, sebilah sabit, dalam satu kejadian di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.

Sugu, 29, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1959, yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Mohd Fauzi Mohd Nasir pada Jumaat.

Tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di kawasan parkir di premis hospital pada kira-kira 6 petang Selasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mahinderjit Singh.

Memohon ikat jamin lebih rendah, Mahinderjit Singh berkata, Pavithra telah menarik balik laporan polis pada Rabu (22 Julai).

Peguam turut menyatakan bahawa ia merupakan salah faham antara suami isteri, dan pasangan itumempunyai dua anak, masing-masing berusia dua dan lapan tahun.

"Isterinya hanya mampu membayar jaminan antara RM5,000 hingga RM10,000," katanya.

Mohd Fauzi menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes.

Hakim turut menetapkan supaya Sugu melaporkan kepada balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga kes selesai. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Youtuber, M. Sugu, Pavithra, suami,

Artikel Lain