KLUSTER baharu ibarat sebagai bara yang sedang membakar. Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bangga bawa keluarga masuk mall tak pakai mask, siapa pandang semacam dicop haiwan ternakan - “Dia ingat virus serang start 1 Ogos ke?” Ujarnya, gelombang ketiga Covid-19 juga tidak mustahil sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP. "Tsunami (Covid-19)? Kemungkinan ya kalau rakyat Malaysia tak patuh SOP. Tindakan pencegahan lebih penting. "Kluster baharu ibarat sebagai bara yang sedang membakar, dan kalau kita tidak patuh SOP ibaratnya kita ini sebagai bahan api. "Jadi jika bara berjumpa dengan bahan api maka merebak menjadi satu kebakaran yang besar iaitu kes akan meningkat secara mendadak," ujarnya. Tambah Dr Noor Hisham, KKM telah merekodkan 120 kes baharu pada minggu epid ke-30, iaitu dari 19 Julai hingga 25 Julai lepas dan ini menjadi kebimbangan sekiranya kes baharu terus mencatatkan peningkatan. "Kalau 2,000 ke 3,000 kes dalam tempoh seminggu, hospital kita akan sesak dan tiada kemampuan untuk merawat pesakit dan pada masa itu kawalan kita akan tertumpu kepada hospital sahaja. "Tetapi sekarang di peringkat awal (kita masih) boleh kawal dengan mengamalkan SOP seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial, kedua-dua cara ini telah terbukti dapat memutuskan rantaian jangkitan antara 60 ke 70 peratus. "Kita ada masa dan ruang yang tipis untuk memutuskan rantaian dan yang pasti kalau kita boleh patuh pada SOP, kehidupan harian kita boleh berjalan dengan biasa," katanya. Gelombang pertama Covid-19 di Malaysia adalah menerusi pelancong dari China awal tahun ini, manakala gelombang kedua merupakan kes diimport. - BERNAMA. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!