SEORANG wanita yang berdepan dengan tekanan akibat menderita kanser usus, maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Kuantan pada Ahad. Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mangsa dilihat memandu sebuah kereta ke tempat letak kereta di tingkat lima bangunan berkenaan pada pukul 9.34 pagi. Beliau berkata, wanita itu kemudian dilihat berjalan kaki di kawasan tempat letak kereta di tingkat tujuh.ARTIKEL BERKAITAN: Buat persiapan sambut pelajar esok, guru maut terjatuh dari balkoni bangunan sekolah Berdasarkan rakaman CCTV juga katanya, mangsa yang menggalas sebuah beg dilihat memanjat dinding penghadang sebelum terjatuh. "Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kepala berlumuran darah sebelum kejadian dilaporkan kepada polis. "Hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa mendapati kematiannya tidak melibatkan unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. Mohamad Noor berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat. Berdasarkan maklumat diberikan suami mangsa, kata Mohamad Noor, wanita itu disahkan mengidap kanser usus sejak 2016 dan dikatakan telah sembuh selepas menjalani rawatan. "Bagaimanapun pada Mac tahun ini, penyakit itu kembali menyerang dan dia kini masih dalam rawatan kemoterapi. "Mangsa tertekan sejak kebelakangan ini kerana tidak dapat tidur kesan daripada penyakit yang dihadapi," katanya. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!