suria

“Saya pendengar yang baik... ada perkara saya tiru idea orang” - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto: AP Photo/Vincent Thian

MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa dirinya merupakan seorang pendengar yang sangat baik, selain mengakui menggunakan idea orang lain untuk dijadikan idea sendiri.

"Saya pendengar yang sangat baik. Saya selalu memberitahu orang lain bahawa ketika anda mendengar, anda belajar. Tetapi semasa anda bercakap, anda hanya membincangkan perkara yang sudah anda ketahui.

"Tetapi apabila anda mendengar, anda belajar lebih banyak perkara. Setiap kali ada perjumpaan, saya selalu meluangkan masa untuk mendengar dan mencuri idea mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh gila kuasa, Tun M dedah punca letak jawatan - “Jika benar masih disokong, saya akan kembali”

"Idea orang lain kini dikenali sebagai idea saya. Ada perkara yang saya tiru dari orang lain,"katanya dalam program sembang (chat) dalam talian secara langsung yang dihoskan oleh kumpulan pemuda MyPerintis pada Isnin.

Ditanya mengenai ilham atau inspirasi, beliau mengatakan bahawa penting bagi seseorang untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan menerusi sikap rajin membaca.

Dr Mahathir berkata walaupun beliau seorang doktor, namun bahan bacaannya tidak terhad kepada perkara berkaitan perubatan, tetapi juga merangkumi sains, ekonomi, kewangan dan masalah sosial.

Selain itu, pengalaman yang dimilikinya menjadi rujukan tentang apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.

"Untuk memastikan bahawa apa yang ingin saya lakukan dilaksanakan, saya mesti berkomunikasi dengan pelaksana, orang-orang yang akan melakukan apa yang telah anda putuskan," katanya sambil memberi contoh, Kabinet membuat keputusan tetapi eksekutif atau penjawat awam yang akan melaksanakannya.

Ujar Ahli Parlimen Langkawi ini lagi, sewaktu pemerintahannya, beliau memperkenalkan mesyuarat pasca-Kabinet supaya para menteri dapat memberitahu penjawat awam apa yang telah diputuskan oleh pemerintah.

Beliau juga memberitahu amat mengkagumi pemimpin Afrika Selatan Nelson Mandela kerana menjadi penyatu rakyat negaranya, dan pemerintah Rusia Tzar Peter the Great Rusia, walaupun mengakui bahawa dia mungkin bukan contoh yang sangat baik.

Ujarnya, Peter the Great mahu Rusia berada pada tahap yang sama dengan negara-negara Eropah Barat, dan bekerja keras untuk merealisasikan misinya itu.

"Akhirnya, dia berjaya. Rusia menjadi kekuatan dunia kerana perubahan yang dia bawa di kalangan rakyat. Dia mengubah sistem nilai dan cara mereka bekerja, cara mereka berfikir.

"Dan ini dapat dilakukan bahkan untuk Malaysia jika kita mempunyai usaha ini untuk memiliki budaya dan nilai moral Malaysia. Sama ada orang Cina, India atau Melayu, tetapi nilai moralnya mesti sama. Kemudian saya fikir kita akan dapat menyingkirkan perkauman,"katanya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Tun Dr Mahathir, idea, pendengar

Artikel Lain