SERAMAI 20 individu yang pulang dari luar negara dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana positif Covid-19 setakat ini. Menurut Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 20 individu itu adalah sebahagian daripada 8,011 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 24 Julai sehingga semalam (Sabtu). Sementara itu baki 7,991 yang lain ditempatkan di 31 buah hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah untuk menjalani kuarantin wajib.ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia, warga asing pulang dari luar negara akan jalani kuarantin wajib mulai Jumaat ini "Mereka telah pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP pada Ahad. Dalam perkembangan lain, Ismail memberi jaminan bahawa barangan keperluan mencukupi, mudah diperoleh dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan. Ujarnya, ini berdasarkan pemantauan harian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Pada Sabtu, pemantauan dibuat ke atas 12 jenis bekalan barangan di 543 premis perniagaan termasuk peruncit (390), pemborong (130) dan pengilang (23). "Maka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya lagi. Beliau berkata penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,733 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,697 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 35 premis diberi nasihat dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!