suria

Menteri didakwa langgar perintah kuarantin, PM kata semua rakyat tertakluk kepada undang-undang - “Tidak ada sesiapa pun yang terkecuali”

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. fotoBERNAMA.

TIDAK ada sesiapa pun yang terkecuali.

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perbuatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari Turki, 7 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP kuarantin: Ismail Sabri beri jaminan tiada siapa terlepas - “Menteri, timbalan menteri kalau salah pasti dikenakan tindakan”

Menurut Muhyiddin, kerajaan ambil maklum dan memandang serius hal itu serta mahu siasatan menyeruluh dan tindakan sewajarnya diambil mengikut proses undang-undang negara ini.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali, ” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilaporkan tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah dengan menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.

Berikutan itu, Mohd Khairuddin dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Beliau turut meminta maaf dan memulangkan gaji sebagai menteri selama empat bulan bermula Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain