SAMBUTAN Hari Kebangsaan ke-63 pada Ahad dicemari dengan rekod kompuan terbesar dalam sehari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan. Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 673 individu telah dikenakan kompaun pada hari itu sekaligus menunjukkan tahap keingkaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi. "Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 778 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP. Seramai 98 individu direman dan tujuh individu dijamin. "Seramai 673 individu dikenakan kompuan. Ini saya kira jumlah terbesar dikenakan dalam satu hari selepas PKPP dilaksanakan. "Ini menunjukkan bahawa keingkarannya bertambah, mungkin rakyat rasa PKPP sudah tidak ada, SOP tidak perlu dipatuhi lagi," ujarnya menerusi sidang media pada Isnin. Tambahnya, kesalahan yang dikenakan kompuan paling tinggi merupakan aktiviti pub dan kelab malam, melibatkan tindakan ke atas 600 individu. Malah, dia tidak menolak kemungkinan berlakunya peningkatan kompaun luar biasa atas alasan mahu meraikan sambutan merdeka. "Yang paling tinggi adalah semalam, mungkin mereka nak rai hari merdeka agaknya, Jadi berlaku peningkatan mendadak. "Kelab malam dan pub belum lagi boleh dibuka, tapi mereka membukanya secara haram. Tindakan mereka salah di sisi undang-undang. "Selain polis akan kenakan tindakan tegas, kita juga minta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya bersama polis, jika mereka mempunyai lesen... lesen mereka boleh dibatalkan terus," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!