suria

Ramai masih tak tahu... Productivity1010 solusi era digital, MPC atur strategi ajak komuniti niaga teroka peluang mega

MPC mahu melihat komuniti perniagaan memanfaatkan teknologi yang ada untuk meningkatkan lagi produktiviti mereka.

PENULARAN Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia ternyata memberi impak terhadap syarikat-syarikat serta pengusaha perniagaan.

Sehubungan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memberi saranan agar mereka sentiasa tampil berinovatif dan menerapkan elemen teknologi disamping mematuhi Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan.

Langkah itu bagi MPC mampu meningkatkan produktiviti kumpulan peniaga disamping membantu memacu semula ekonomi negara.

Kata Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abu Seman, pihak MPC yakin penggunaan teknologi digital mampu membantu komuniti perniagaan dalam usaha mereka bangkit selepas terkesan akibat impak PKPP yang dilanjutkan sehingga ke 31 Disember depan.

"Saya yakin Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan pulih menjelang suku pertama tahun hadapan sekiranya peniaga patuh kepada segala perintah yang ditetapkan kerajaan.

Teknologi digital mampu membantu komuniti perniagaan bangkit selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

"Penggunaan teknologi digital boleh membantu. Komuniti perniagaan juga perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk peraturan baharu yang perlu disesuaikan mengikut norma baharu," ujarnya.

Sehubungan itu, MPC turut melancarkan Productivity1010, satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Produktiviti Nexus Jentera dan Peralatan (MEPN) dalam usaha membantu syarikat untuk membangunkan pelan tindakan digitalisasi individu.

Menurut Abdul Latif, pihak MPC bukan sahaja mahu melihat komuniti perniagaan bekerja dengan bersungguh-sungguh, malah memanfaatkan kemudahan teknologi yang ada untuk meningkatkan lagi produktiviti mereka.

"Bila saya kata kita tak bekerja dengan sepenuhnya, ia bukan sekadar bekerja lebih keras tapi ia melibatkan cara kerja lebih bijak.

"Kita ada sebut mengenai cara membuat sesuatu dengan cara berbeza. Jadi saya sedikit terganggu apabila kita kata tak dapat lakukan banyak perkara kerana PKPP.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman.

"Saya tak setuju, ada banyak kerja untuk dibuat, cuma kita perlu buat dengan cara berbeza," ujarnya merujuk kepada penggunaan teknologi dan inovasi sebagaimana dinyatakan dalam Blueprint Produktiviti Malaysia.

Tambahnya, dengan adanya teknologi, komuniti perniagaan juga boleh menjalankan kerja dari mana saja, tanpa mengira lokasi, malahan tanpa perlu bersemuka secara nyata sebagaimana cara konvensional sebelum ini.

Menurut Abdul Latif lagi, MPC sedar masih banyak peniaga dan syarikat yang kurang mendapat pendedahan mengenai cara untuk menambah baik perniagaan mereka termasuklah mengenai bantuan kewangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Malah, antara kekangan lain mengapa mereka kurang mengadaptasi teknologi adalah kerana kekurangan modal yang mencukupi.

Sekitar majlis pelancaran Productivity1010 pada 29 Ogos lalu.

Oleh kerana itu, beliau yakin inisiatif Productivity1010 mampu membantu golongan itu untuk meneroka peluang perniagaan baharu dengan pelan yang telah dirangka MPC dan MEPN.

"Ia memudahkan kita untuk mendekati industri, khususnya syarikat-syarikat yang tidak tahu.

"Malah, banyak juga inisiatif yang diumumkan kerajaan, misalnya melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). Ramai yang masih tak tahu.

"Pada masa sama, kita juga harus melihat proses bagaimana bantuan yang dinyatakan itu disampaikan. Kita kena mudahkan peraturan serta kekangan yang kita anggap menyulitkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Pengusaha Mesin dan Industri-Industri Kejuruteraan (MEIF), Datuk Michael Kang turut mengakui Productivity1010 yang diperkenalkan adalah inisiatif bermanfaat khususnya buat komuniti perniagaan dalam industri tersebut.

Timbalan Presiden Gabungan Pengusaha Mesin dan Industri-Industri Kejuruteraan (MEIF), Datuk Michael Kang.

Jelasnya, dia melihat banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bekerja dalam cara konvesional terkesan dan mula sedar mengenai kepentingan teknologi selepas negara diserang pandemik Covid-19.

"Perbezaan ketara, banyak PKS yang berfikiran tradisional, mereka tidak mahu berubah.Selepas pandemik, mereka mula berfikir.

"Kenapa sebelum ini kami tidak bermula ke arah digitalisasi, tidak memanfaatkan teknologi, tidak menjalankan perniagaan secara dalam talian?

"Saya rasa ini masa yang terbaik. Apabila kami melakukannya (Productivity1010) pada waktu ini, mereka sangat gembira kerana sudah dapat mencari solusi, ' ujarnya.

Malah kata beliau, ada juga PKS yang mahu memulakan perjalanan digitalisasi sebelum ini, namun gagal mencari penyelesaian sebagaimana yang diwujudkan kini menerusi inisiatif Productivity1010.

Tambahnya, ia juga bakal membantu banyak PKS untuk mencari solusi paling efektif dalam memacu usaha ke arah digitalisasi.

"Mereka (syarikat) yang enggan memanfaatkan teknologi, mereka akan tewas.

"Akhirnya, mereka perlu menghentikan operasi kerana tak boleh bersaing dengan pasaran.

Productivity1010, satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Produktiviti Nexus Jentera dan Peralatan (MEPN) dalam usaha membantu syarikat untuk membangunkan pelan tindakan digitalisasi individu.

"Dengan digitalisasi, ia bukan sekadar untuk pasaran Malaysia... mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya.

Secara jelasnya, inisiatif Productivity1010 juga akan melaksanakan 'Digitisation Self-Diagnostic and Prioritization Matrix' untuk membantu komuniti perniagaan memulakan perjalanan digital mereka.

Malah, ia berhasrat membantu 1,000 syarikat dalam sektor pembuatan bagi memulakan digitalisasi seterusnya meningkatkan produktiviti dan persaingan jangka panjang.

Sehingga hari ini, inisiatif yang dibantu oleh 20 pakar industri akan membolehkan segala ilmu pengetahuan dan teknologi dikongsi dengan komuniti perniagaan yang lain.

Sementara itu, MEPN sendiri telah berjaya menganjurkan sembilan siri webinar dan klinik penasihat maya yang dikenali sebagai MEVAC.

Ia dihadiri lebih 1,000 pemain industri untuk membantu komuniti itu menyampaikan cadangan dan mempermudahkan pendekatan dalam melaksanakan perubahan yang lestari.

Untuk rekod, MEPN dengan sokongan penuh MPC telah melancarkan Productivity1010 pada 29 Ogos lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain