suria

2 pesakit berjaya loloskan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang sedang dijejaki polis

Polis kini sedang menjejaki dua pesakit yang melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.

DUA pesakit lelaki yang dipercayai melarikan diri dari Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu, kini sedang dijejaki pihak polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji, kedua-dua pesakit itu berjaya meloloskan diri ketika dikeluarkan dari bilik masing-masing, kira-kira pukul 3 petang untuk minum petang.

Kehilangan mereka disedari oleh salah seorang kakitangan hospital iaitu pada jam 3.45 petang, semasa pemeriksaan rutin ke atas wad, ujarnya.

"Suspek pertama merupakan pesalah di bawah Seksyen 14 (A) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dari Penjara Kota Kinabalu dan telah dimasukan ke wad forensik pada 10 Mei tahun lalu untuk rawatan 'mild intellectual disability', atas perintah Mahkamah Kota Kinabalu.

"Manakala suspek kedua pula merupakan pesalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dari daerah Tawau, dan telah dirujuk ke hospital itu pada 14 Januari tahun lalu atas masalah mental iaitu 'Schizophrenia'," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk segera menyalurkan kepada Inspektor Palani Nathan Pathmanathan di talian 016-412 2835 atau ke Hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088-529220 atau di Facebook IPD Kota Kinabalu.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain