suria

MPS sita pejabat Azmin, Hilman di Gombak

Pejabat Mohamed Azmin dan Muhammad Hilman Idham disita MPS pada Jumaat.

MAJLIS Perbandaran Selayang menyita pejabat Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di Taman Berjaya, Gombak.

Memetik laporan Sinar Harian, tindakan pengosongan itu dipercayai ada kaitan dengan status kedua-dua wakil rakyat tersebut yang bukan lagi Adun mewakili kerajaan negeri selepas menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu).

ARTIKEL BERKAITAN: Blok Azmin sertai Bersatu - Sumber

Difahamkan, notis pengosongan dikeluarkan ke atas bangunan tersebut yang dahulunya merupakan dewan awam sebelum dijadikan Pusat Khidmat oleh Adun terdahulu, Hasbullah Ridzwan sebelum diambil alih oleh Mohamed Azmin dan Muhammad Hilman.

Hilman yang berada di Sabah ketika ini menyifatkan tindakan oleh kerajaan negeri dengan merampas kembali pusat khidmat itu sebagai tindakan yang merugikan rakyat.

"Tindakan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan kerajaan negeri menyita pusat khidmat dan menghalau saya keluar hanya akan merugikan rakyat Dun Gombak Setia.

"Pusat Khidmat tersebut adalah pejabat untuk saya bertemu dengan rakyat, pimpinan tempatan dan warga yang memerlukan," katanya sambil menambah, langkah tersebut juga seperti tindakan balas dendam susulan pihaknya tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH).

Tambahnya lagi, sungguhpun dia dan Mohames Azmin bukan lagi Adun PH, namun mereka masih melaksanakan khidmat dan menyalurkan bantuan kepada warga Gombak.

"Jika MB dan kerajaan negeri mahu menghukum saya kerana tidak lagi menyokong PH, mereka sepatutnya berdepan dengan saya dan bukan menghukum rakyat dan para pengundi Gombak Setia," katanya.

Sementara itu, wakil MPS ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain