suria

Malim gunung, porter bertugas 13 dan 14 September perlu jalani ujian Covid-19, Taman Kinabalu ditutup sehingga 8 Oktober

Penutupan Taman Kinabalu itu bagi mengelak berlaku jangkitan di destinasi tumpuan ramai itu.

PEMINAT aktiviti pendakian dan pencinta alam perlu menangguhkan rancangan untuk ke Kompleks Taman Kinabalu kerana ia ditutup sementara bermula esok hingga 8 Oktober depan.

Perkara itu dimaklumkan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah menerusi notis yang dikeluarkan.

Setiausaha Tetapnya, Dr Jamili Nais, memaklumkan ia susulan seorang pendaki dari Tawau dikesan sebagai kontak rapat kepada individu yang didapati positif Covid-19.

"Kami dimaklumkan pada 13 hingga 14 September lalu, seorang pendaki dari Tawau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

"Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Sabah menyarankan Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam, termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu, selama 14 hari berkuat kuasa 25 September (esok)," katanya.

Berikutan itu juga, katanya, semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran dan pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu serta Panalaban, dikehendaki menjalani saringan kesihatan di Dewan Kinabalu, hari ini.

"Selain itu, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mt Torq yang terdedah kepada jangkitan Covid-19 ketika bertugas pada dua tarikh berkenaan, dikehendaki menjalani saringan kesihatan," katanya.

Kata Jamili, Jabatan Kesihatan Sabah akan meletakkan notis penutupan, termasuk penghalang masuk ke Kompleks Taman Kinabalu, bermula hari ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Kinabalu, Covid-19, malim, porter

Artikel Lain