suria

Rupa-rupanya ini sebab Tun M tak mahu tanding PRU akan datang - “Kita lebih utamakan politik atau nyawa rakyat?”

Dr Mahathir tidak berhasrat untuk bertanding pada PRU akan datang. Foto Reuters

BERITA gempar khususnya buat para penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya dilaksanakan mengikut tempoh penggal semasa memandangkan usianya sudah mencecah 98 tahun ketika itu.

Namun bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu bersedia menawarkan nasihat serta berkongsi pengalaman dengan parti yang baru ditubuhkannya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jika perlu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui wakil media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di Langkawi, Sabtu.

Ditanya jika ada keperluan Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU pada ketika ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata penularan pandemik Covid-19 menyukarkan perkara tersebut.

"Dalam keadaan biasa boleh (dibubarkan) kerana PRU beri balik kuasa kepada rakyat tentukan siapa jadi kerajaan. Tetapi waktu ini negara hadapi masalah Covid-19, masalah ini menyebabkan kos untuk mengadakan PRU tinggi dan mendedahkan rakyat kepada penularan penyakit itu.

"Saya yakin kalau PRU diadakan seperti biasa, ramai rakyat akan terkena Covid-19, ramai akan maut, meninggal dunia. Soalnya sama ada kita lebih utamakan politik atau nyawa rakyat?," katanya.

Isu PRU kembali dibangkitkan sesetengah pihak selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas mendakwa menerima sokongan yang "kukuh dan meyakinkan" daripada ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Untuk rekod, penggal Parlimen ke-14 akan tamat pada 16 September 2023. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan