suria

Hanya peringatan! Dr Noor Hisham perjelas tweet bayangan PKP bakal dilaksanakan semula

Dr Noor Hisham memperjelaskan mengenai tweet beliau yang mencetuskan teka teki ramai, menerusi sidang media sebentar tadi.

HANYA mahu beri peringatan!

Demikian tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai tweet balas beliau yang mencetuskan spekulasi sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tweet balas Dr Noor Hisham cetus teka teki... beri bayangan PKP dilaksanakan semula

"Perkara tu bukan perkara baru... dari hari pertama lagi saya tweet, saya ingatkan semua rakyat Malaysia yang tiada urusan penting, dinasihatkan duduk di rumah.

"Kalau mahu keluar rumah kerana ada urusan penting, patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Itulah tujuan utama saya tweet, hanya memperingatkan untuk duduk rumah kalau tiada urusan penting.

"Kalau ada urusan penting, amalkan 3W dan elakkan 3C," katanya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada petang Khamis.

Amalan 3W merujuk kepada saranan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (Wear) dan amaran (Warn) yang lebih berkonsep peringatan seperti elakkan bersalaman dan lain-lain lagi.

Sementara itu 3S pula bermaksud elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

Terdahulu, tweet balas Dr Noor Hisham kepada seorang pengguna Twitter menimbulkan teka-teki susulan beliau seakan-akan memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

Beliau menulis: "Bagaimana jika semua kembali kekal berada di rumah seketika waktu?"

Tweet tersebut mengundang reaksi balas beberapa pengguna Twitter lain yang merasakan ia seperti memberi petunjuk PKP akan dilaksanakan semula.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Noor Hisham, tweet, PKP, peringatan

Artikel Lain