suria

Pernah ke Sabah, Dr Zulkifli sah positif Covid-19... ramai doakan segera sembuh, tapi ada pertikai kenapa tak kuarantin? - “Banyak tempat Datuk pergi... program terakhir di universiti”

Zulkifli mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi pemimpin terbaharu yang diuji positif bagi wabak Covid-19.

Perkara tersebut disahkan oleh beliau sendiri menerusi satu posting di Facebook.

"Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri Hal Ehwal Agama didakwa ingkar PKP, polis buka kertas siasatan

Dalam posting tersebut, Zulkifli turut meminta mana-mana individu yang menghadiri majlis melibatkan kehadirannya agar membuat ujian saringan Covid-19.

"Saya meminta orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

"Saya berdoa semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah," tulisnya.



Zulkifli mengesahkan dirinya diuji positif Covid-19 menerusi Facebook.

Untuk rekod, beliau menghadiri majlis di Sandakan, Sabah pada 20 September lalu termasuk memberi ceramah agama di masjid daerah itu bagaimanapun ia sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Sabah.

Selain itu Zulkifli turut serta pada program penyerahan bantuan menerusi misi #MusaadahKhasSiswa kepada siswa UiTM Shah Alam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 4 Oktober (semalam).

Sementara itu, ruangan komen pada perkongsian tersebut dibanjiri dengan ucapan netizen yang mendoakan kesembuhan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

"SyafakAllah semoga Datuk diberi kesihatan yang baik-baik saja sepanjang tempoh kaurantin dan kembali bebas dari virus Covid," tulis NUr Azlianni pula.

"Saya doakan semoga Datuk dan semua muslimin dan muslimat ygn terkena jangkitan covid19 ini di permudahkan segala urusan dan di beri kesembuhan oleh Allah s.w.t. segala apa yang berlaku ini adalah ujian dari Allah," komen Affendi Ibrahim.



Antara komen netizen pada perkongsian Zulkifli.

Namun begitu, netizen turut mempertikaikan tindakan menteri tersebut yang tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah.

"Banyak tempat Datuk pergi, kenapa tak kuarantin. Program terakhir di universiti. Semoga semua baik-baik belaka. Janganlah merebak lagi ke tempat lain, kluster baru," komen Surayah Mohamed.

"Allahu, syafakallah Datuk. Saya terfikir bila melihat Datuk ke sana sini menghadiri banyak program selepas balik dari Sabah. Tertanya jugak kenapa tak ada kuarantin," komen Azlina Abdul Aziz.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih lebih 1,000 shares sejak ia dimuat naik 30 minit lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain