TINDAKAN Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melanggar arahan kuarantin kendiri di kediamannya kini sedang diteliti pihak polis. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan berhubung perkara itu jika perlu. Katanya, perbuatan menteri besar itu termasuk permohonan maaf yang dibuat Amirudin di media sosial sedang diteliti sebelum sebarang tindakan susulan diambil. ARTIKEL BERKAITAN: Kes Khairuddin: Polis tunggu 'lampu hijau', pendakwaan hanya dibuat selepas dapat kebenaran Jabatan Peguam Negara "Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang laporan berkaitan isu itu. "Polis akan teliti perkara ini termasuk permohonan maaf dibuat Amirudin. Kenyataan itu dibuat menerusi media sosial. "Kalau ada keperluan, kita buka kertas siasatan," katanya pada sidang media di ibu negara, Rabu. Pada Isnin, Amirudin yang menjalani kuarantin di rumah terpaksa keluar bertugas bagi menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat negeri ini. Difahamkan, Amirudin bertindak demikian bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih. "Saya mohon maaf terpaksa keluar daripada kuarantin untuk menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan pada kehidupan rakyat Selangor. "Saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif," katanya seperti dilapor Sinar Harian. Beliau berkata demikian menerusi Facebook selepas meninjau situasi pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih bagi yang berlaku petang tadi yang turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!