BUKIT Aman menangguhkan temujanji bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan kes penyebaran nama Ahli Parlimen yang didakwa memberikan sokongan terhadapnya sebagai perdana menteri. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, polis pada awalnya memanggil Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk disoal siasat pada pukul 11 pagi, Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Dapat perkenan Agong, Anwar bakal ke Istana Negara minggu depan - “Saya akan persembahkan keterangan lengkap majoriti ahli Parlimen yang kukuh, meyakinkan” "Namun, kami diberitahu oleh setiausaha sulitnya bahawa dia hanya dapat hadir pada pukul 9 pagi Selasa. "Oleh itu, kami telah menangguhkan temujanji itu ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Ujarnya, polis kini sedang menyiasat kes berkenaan penyebaran senarai 121 anggota Parlimen yang kononnya menyokong Anwar di media sosial. "Kami telah menerima enam laporan polis mengenai hal itu, dimulai dengan laporan yang dibuat oleh Anggota Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pada 8 Oktober. "Kami sedang menyiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya. Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan penyebaran berkenaan. “Kami mendesak semua pihak yang terlibat untuk tidak menyebarkan berita yang belum disahkan. "Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak disahkan yang dapat mengelirukan masyarakat," tambahnya. - The Star. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!