suria

Anwar dipanggil ke Bukit Aman esok, bantu siasatan kes penyebaran nama 121 Ahli Parlimen

Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta hadir ke Bukit Aman, esok. Foto: Bernama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) meminta Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada Jumaat.

Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, keterangan Anwar adalah bagi membantu siasatan berhubung penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau sebagai perdana menteri seterusnya membentuk kerajaan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Aman tangguh ambil keterangan Anwar Ibrahim

Huzir memaklumkan pihaknya telah menerima 113 laporan polis berhubung perkara itu.

"Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Huzir turut meminta orang ramai supaya tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin serta berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

"Ia juga untuk mengelak perpecahan dan suasana permusuhan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Anwar sepatutnya dipanggil memberi keterangan jam 11 pagi Isnin lalu.

Namun setiausaha sulitnya memaklumkan Ahli Parlimen Port Dickson itu hanya dapat hadir pada jam 9 pagi Selasa sebelum ditangguhkan pihak polis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain