suria

Baru berusia 20 hari, bayi maut dipercayai tersedak susu

Seorang bayi perempuan baru berusia 20 hari meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya. -gambar hiasan

MALANG tidak berbau. Seorang bayi perempuan baru berusia 20 hari meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, dekat Johor Bahru, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu disedari bapa angkat bayi itu yang berusia 35 tahun, apabila mendapati anaknya tidak sedarkan diri, kira-kira pukul 10 pagi.

"Susulan kejadian, pengadu (bapa angkat bayi) yang merupakan seorang mekanik telah menghubungi Klinik Tanjung Kupang dan pihak klinik telah datang dan mengesahkan kematian bayi tersebut.

"Jenazahnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, bayi itu yang dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah pada 27 September lepas, masih belum didaftarkan nama.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain