SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita baginda dengan sikap kebanyakan ahli-ahli politik yang seolah-olah tidak mempedulikan masalah dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat wabak koronavirus (Covid-19). Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat. Baginda turut berpandangan bahawa rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa bercakaran serta bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara, kata Mohamad Munir. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Singapura, sambal belacan Tunku Azizah jadi santapan Sultan Selangor pula... yang pasti netizen makin tak ‘senang duduk’ "Baginda bertitah agar ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. "Kesusahan dan penderitaan rakyat dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menasihati semua rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak diheret ke kancah politik tidak menentu. Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik Covid-19 itu. Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut sependapat dengan Yang di-Pertuan Agong dan menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda itu. "Oleh demikian, baginda mahukan semua pihak terutama ahli-ahli politik untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing dan sentiasa fokus membantu rakyat serta negara dalam menangani masalah penyebaran wabak Covid-19, di samping membina semula ekonomi yang teruk terjejas," katanya. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!