suria

Diminta hentikan sidang media harian, Ismail Sabri ada jawapannya - “Ini kabinet Kementerian Pertahanan, tak kan nak buang”

Menerusi sidang media sama, Ismail turut mengumumkan PKPD yang diperkenalkan di beberapa kawasan ekoran penularan Covid-19 yang semakin memuncak. fotoBERNAMA.

LUPAKAN perbezaan politik.

Demikian jawab Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung gesaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh agar dia menghentikan sidang media harian jika tiada pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen rajin buat ‘kerja’ lagi, sidang media Pak Long Mail di rumah pula jadi perhatian... habis semua barang nak dibida! - “Datuk, boleh tepi sikit tak?”

Dalam sidang media pada Khamis, Ismail turut mengulas komen Hannah yang menyifatkan sidang akhbar hariannya sebagai tempat mempromosikan baju atau barang pameran di rak.

"Saya tak tahu, ini kabinet (rak) yang dah ada. Takkan nak dibuang. Ini kabinet Kementerian Pertahanan, dah ada di sini.

"Jadi saya biarkan dan saya tak promosikan apa-apa. Saya hanya memaklumkan tindakan harian yang rakyat mahu tahu," ujar Ismail merujuk kepada komen mengenai rak yang menjadi latar belakang sidang medianya saban hari.

Tambah Ismail, rakyat tertanya-tanya apakah tindakan diambil kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 di negara ini.

"Rakyat nak tahu apa yang dilakukan pihak berkuasa terhadap orang yang gagal patuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Dan orang ramai mahu polis melakukan tindakan sebab ia boleh selamatkan orang lain. Jadi saya lapor setiap hari," ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut mengajak Hannah agar sama-sama fokus dalam memeranagi pandemik Covid-19 di negara ini.

Menerusi sidang media sama, Ismail turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diperkenalkan di beberapa kawasan ekoran penularan Covid-19 yang semakin memuncak.

Ia melibatkan PKPD di enam lokaliti di Semporna dan satu di Kunak, Sabah, berkuatkuasa 24 Oktober sehingga 6 November depan.

Bermula tarikh sama, PKPD turut dilaksanakan di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu.

Antara lain termasuklah PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuaters Perumahan Penjara Seberang Prai, Pulau Pinang bermula 22 Oktober sehingga 4 November.

Terdahulu kata Hannah, sidang media bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak.

"Ini kerana semakin banyak yang diumumkan, orang awam menjadi semakin keliru.

"Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid-19! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para menteri akan melakukannya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain