suria

PKPB di KL, Selangor, Putrajaya mungkin disambung jika kes Covid-19 terus naik

Polis menjalankan sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan penduduk di Lembah Klang. -gambar hiasan/foto Bernama

RAMAI tertanya-tanya sama ada Perintah Kawalan Bergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan disambung atau tidak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menyambung PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan tamat pada 27 Oktober ini jika kes Covid-19 terus meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini kementerian sedang memantau data kes setiap hari bagi melihat sama ada PKPB di negeri berkenaan perlu disambung.

ARTIKEL BERKAITAN: Paling tinggi! Malaysia catat 1,228 kes baharu Covid-19,7 lagi kematian

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di KL, Selangor, Putrajaya, Labuan sambung atau tidak? Ini jawab Ismail Sabri

"Data itu akan kita sebarkan, masing-masing kita (akan) tahu sama ada perlu sambung (PKPB) atau tidak. Tetapi yang nyata pada hari ini kes semakin meningkat," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 76 kes baharu Covid-19 di Selangor pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan 3,880 kes.

Katanya, negeri itu mencatatkan kenaikan 1,279 kes positif dalam tempoh 14 hari berbanding pada 11 Oktober yang hanya merekodkan 26 kes baharu dengan jumlah kumulatif 2,601 kes.

Dr Noor Hisham berkata, kenaikan kes itu juga mengakibatkan jumlah Zon Merah di negeri Selangor meningkat daripada dua kepada enam daerah dalam tempoh 14 hari.

"Kenaikan paling ketara adalah dalam Daerah Hulu Langat (168 kes), Klang (115 kes) dan Gombak (93 kes). Peningkatan kes penularan tempatan di dalam negeri Selangor mula dilihat pada 2 Oktober 2020 dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini," katanya.

Tiga lagi daerah yang merupakan Zon Merah ialah Daerah Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Menurut Dr Noor Hisham, penularan Covid-19 di Selangor dalam gelombang ketiga pada mulanya hanya melibatkan kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah melibatkan sembilan kluster, namun kemudian berlaku penularan tempatan melibatkan 35 kluster aktif.

"Mutakhir ini iaitu mulai 11 Oktober 2020, penularan tempatan di Selangor mula mengakibatkan kluster berkaitan tempat kerja, di mana setakat ini enam kluster dikesan di Selangor," katanya.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata, selain meneruskan saringan Covid-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik bagi pengunjung pulang dari Sabah, PKPB di Lembah Klang dilaksanakan berkuat kuasa 14 Oktober lepas, manakala pekerja peringkat pengurusan dan pengawasan sektor awam dan industri dibenarkan bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Oktober.

Untuk itu, katanya majikan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan kepada pekerja yang dibenarkan bekerja dari rumah tetapi tidak menjalankan tugas yang diberikan kerana keluar melakukan aktiviti sosial seperti bersiar-siar, membeli-belah dan sebagainya.

"Contohnya saya berpengalaman duduk di rumah untuk tempoh 14 hari. Pada awalnya mungkin saya rasa duduk rumah tidak banyak kerja tetapi untuk tempoh 14 hari, saya rasa saya kerja 14 hari.

"Pukul 8 pagi saya mesyuarat sampai pukul 2 atau 3 (petang), pukul 5 petang Facebook live (siaran langsung sidang media), lepas pukul 5 petang update (kemas kini) informasi di dalam sosial media sampai pukul 8 atau 9 malam, tiap-tiap hari untuk 14 hari. Tiada masa untuk keluar rumah sebab kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tujuan utama bekerja dari rumah supaya lebih ramai duduk di rumah, mengurangkan pergerakan masyarakat dan kebolehjangkitan virus Covid-19 di dalam kawasan PKPB.

Beliau juga memohon semua majikan dan pekerja untuk mematuhi ketetapan ini kerana ia akan membantu mengurangkan risiko penularan di kawasan tempat kerja. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain