KABINET akan mengadakan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dijadualkan bermula pada pukul 11.30 pagi Isnin. Mesyuarat itu dijangka membincangkan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini. Difahamkan, pemimpin-pemimpin parti Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) akan mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri sebelum pertemuan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Titah Agong: Jemaah menteri bincang lebih lanjut - PM ARTIKEL BERKAITAN: Agong tolak cadangan darurat, ulangi teguran terhadap ahli politik selepas mesyuarat Raja-Raja Melayu Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut dilihat memasuki bangunan Perdana Putra di Putrajaya. Umno diwakili oleh Tan Sri Annuar Musa, yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat itu. Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga setiausaha agung Perikatan turut dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra. Ia merupakan mesyuarat khas Kabinet kedua diadakan hanya dalam tempoh beberapa hari. Mesyuarat pertama adalah pada Jumat lalu di mana diputuskan untuk memohon Yang di-Pertuan Agong untuk pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini. Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah berpendapat bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia. - The Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!