TABUNG Amanah Kanser Urologi Universiti Malaya (UM) akan melancarkan kempen di seluruh negara dalam membendung kanser prostat pada bulan depan. Kempen itu diketuai Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan ahli lembaga baharunya, Datuk Seri Nazir Razak. Kempen #onlymencan akan menjadi acara tahunan yang dijalankan setiap November yang juga Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki bermula tahun ini sehingga 2024. Kata Dr Adeeba, dia percaya bahawa kerjasama erat antara doktor dan pesakit kanser akan memberi impak yang besar dalam memerangi kanser prostat. "Kesedaran adalah langkah pertama untuk mengesan penyakit ini di peringkat awal," katanya. Menurut Nazir yang juga bekas pesakit kanser prostat, ramai yang menderita kerana gagal mengesannya dari peringkat awal. "Begitu ramai lelaki meninggal dunia atau menderita dengan teruk kerana mereka gagal mengesan kanser prostat dari awal. "Dan kunci untuk pengesanan awal adalah kesedaran dan nasihat perubatan yang baik. Itulah keutamaan kempen kami tahun ini," katanya. Menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, lebih daripada 60 peratus kes kanser prostat dikesan pada peringkat lewat (tahap tiga dan empat). Jadi, kempen ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah kanser prostat yang lewat dikesan dari lebih 60 peratus kepada 30 peratus menjelang 2025. Sepanjang kempen, mereka juga akan mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran untuk pengamal perubatan. Di bawah program-program ini, doktor terlibat di sektor awam dan swasta akan mengikuti kursus latihan dalam talian untuk mengetahui kemas kini terbaharu mengenai pemeriksaan, diagnosis dan rawatan kanser prostat untuk memberikan rawatan terbaik bagi pesakit. Malah, laman web khusus untuk #onlymencan yang mengandungi pelbagai maklumat untuk orang ramai, pesakit dan pegawai perubatan profesional akan dibangunkan sebagai pusat sumber maya sehenti untuk kanser prostat di Malaysia. Kunci utama adalah untuk membudayakan perbincangan mengenai kanser prostat dan tidak menggalakkan ketakutan sehingga mereka yang berisiko akan membuat pemeriksaan diri. Untuk rekod, kanser prostat adalah antara 10 kanser teratas di Malaysia dengan peratusan besar (60 peratus) kes yang dikesan pada peringkat lewat yang mana ia telah merebak ke bahagian lain badan di luar kawasan prostat. Malah, statistik yang dibandingkan jauh lebih rendah di Singapura (25 peratus hingga 30 peratus) dan Amerika Syarikat (kurang dari 20 peratus). Terdapat kira-kira 117 ahli urologi di negara ini, bersamaan 0.005 ahli urologi per 1.000 penduduk, lebih rendah berbanding 0.02 Singapura dan 0.04 Amerika Syarikat. Apabila bercakap mengenai kanser prostat, ia berkait dengan pelbagai faktor risiko termasuklah usia, sejarah keluarga dan genetik, serta keturunan. Lelaki di atas usia 50 tahun mempunyai risiko lebih tinggi terkena kanser prostat sementara mereka yang mempunyai bapa atau saudara lelaki dengan kanser prostat menghadapi risiko dua kali ganda berbanding lelaki lain. Di Malaysia, lelaki Cina mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk didiagnosis dengan kanser prostat. Walaupun pesakit tidak mengalami simptom, gejala umum kanser prostat adalah kesukaran membuang air kecil, kencing yang kerap pada waktu malam, kencing yang menyakitkan, darah dalam air kencing atau air mani, serta sakit tulang untuk pesakit metastatik. - The Star. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!