MESKIPUN trend peningkatan Covid-19 semakin membimbangkan ketika ini, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi (Sabah) pada 5 Disember depan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sememangnya tidak dapat dielakkan. Ini menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan kerusi Parlimen dan juga tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Susulan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas petang Sabtu mengingatkan rakyat yang terlibat dengan dua pilihan raya tersebut supaya berhati-hati. "Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hatilah."Jagalah diri saudara dan saudari semua. Patuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan," katanya. Dalam pada itu, beliau memberi bayangan bahawa tindakannya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat dilakukan demi keselamatan rakyat. "Saya sebutkan begini kerana ini bukan perkara main-main. Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini. "Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya. "Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuandi Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir," katanya. Pada masa sama, beliau mahu orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan kerajaan demi kepentingan bersama. "Kasihanilah frontliners kita yang terpaksa bekerja siang dan malam bersabung nyawa untuk memerangi wabak ini dan melindungi kita semua. "Bagi yang bekerja, seboleh-bolehnya bekerjalah dari rumah. Saya bimbang kerana sekarang ini telah ada beberapa kluster baharu yang berpunca daripada jangkitan di tempat kerja. "Bagi mereka yang terpaksa keluar bekerja, patuhilah SOP dengan penuh berdisiplin. Sentiasalah ingat untuk memakai pelitup muka, bersihkan tangan dan jaga penjarakan fizikal," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!