suria

Kecoh Belanjawan 2021 tertangguh 15 minit sebelum dapat green light... lebih ramai MP dibenarkan masuk Dewan Rakyat

Speaker Dewan, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan lebih ramai ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan Rakyat.

PEMBENTANGAN Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di Parlimen pada petang Jumaat, tertangguh lebih 15 minit berikutan beberapa wakil rakyat menggesa semua ahli Parlimen dibenarkan masuk ke dalam dewan persidangan.

Perkara itu diusulkan kepada Speaker Dewan, Datuk Azhar Azizan Harun untuk membuat pertimbangan.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mula-mula sekali bangun memohon pertimbangan Speaker untuk membenarkan lebih ramai ahli Parlimen masuk ke dalam dewan, berbanding had 80 orang yang dikuat kuasakan.

Azhar pada mulanya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana had tersebut telah dipersetujui secara konsensus.

Beberapa ahli Parlimen lain kemudiannya turut menyuarakan padangan sama termasuk Lim Guan Eng (Bagan) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

Selepas beberapa alasan yang diberikan termasuk ia sidang penting kerana pertama kali berdepan pandemik Covid-19, selain pembentangan itu berlansung sekali dalam setahun maka Azhar kemudian membenarkan semua ahli Parlimen dibenarkan masuk ke dalam Dewan Rakyat untuk pembentangan Belanjawan 2021.

"Saya benarkan dan lima minit diberikan untuk ahli Parlimen yang ada masuk ke dewan," demikian katanya.

Sebaik mengambil tempat selepas tempoh lima minit yang diberikan, Azhar menjelaskan, pengecualian untuk membenarkan lebih ramai ahli Parlimen masuk itu bagi memberi kerjasama kepada semua hadir seramai mungkin mendengar pembentangan Belanjawan 2021

"Keputusan mengehadkan kehadiran 80 orang adalah keputusan yang dibuat ketua whip masing-masing dan mulai Isnin saya akan patuhi keputusan itu secara ketat," katanya.

Beliau juga menasihatkan ahli Parlimen supaya memberi notis terlebih dahulu untuk membolehkan beliau membuat keputusan secara konsensus, bukannya seperti mana berlaku pada persidangan hari ini.

Pada Khamis, Azhar memaklumkan hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat bermula Jumaat sehingga tarikh akhir persidangan kali ini.

Katanya, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat kelmarin yang dipersetujui secara konsensus oleh semua Ketua Whip parti berikutan penularan pandemik Covid-19.

Jelasnya, langkah yang diambil itu bersifat sementara untuk mengimbangkan tanggungjawab Ahli Parlimen dengan kepentingan menjaga kesihatan ketika berada di Parlimen

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain