suria

“Minta maaf peminat bola sepak....” - Ismail umum Piala Malaysia ditangguhkan, majlis kahwin tetap tak dibenarkan!

Aksi Piala Malaysia ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Gambar hiasan

PIALA Malaysia akan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak, demikian menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, sukan bola sepak tetap berisiko walaupun dijanlankan tanpa penonton kerana ia melibatkan sentuhan dalam kalangan pemain.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 makin ganas... Kerajaan umum PKPB selama 4 minggu di seluruh Semenanjung kecuali 3 negeri, akan pertimbang PKPD di Sabah

"Minta maaf kepada peminat-peminat bola sepak. Setelah dibentangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merasakan pertandingan bola sepak walau tiada penonton tapi ianya akan menyebabkan berlaku sentuhan di kalangan pemain.

"Mereka agak lebih berbahaya kerana mereka berpeluh jadi sentuhan itu dianggap bahaya daripada keadaan biasa. Mesyuarat telah buat keputusan, untuk Piala Malaysia, kita bersetuju untuk ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diumumkan nanti," katanya dalam sidang media pada Isnin petang.

Dalam perkembangan yang sama, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan sebarang majlis sosial seperti majlis perkahwinan tetap tidak dibenarkan untuk diadakan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut beliau, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPB tetap dikuatkuasakan sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.

"SOP kita sama seperti di tempat lain iaitu setiap majlis perayaan, majlis sosial tak dibenarkan. Majlis perkahwainan, sambutan hari jadi, masih tak benarkan. Jadi setakat hari ini statusnya sama... tak ada kebenaran, di dewan atau di rumah terutamanya," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada keluarga yang sudah menetapkan majlis perkahwinan dalam tempoh PKPB untuk meneruskan majlis dalam satu skala yang kecil.

Dalam pada itu Ismail Sabri menambah, Menteri Hal Ehwal Agama akan membentangkan SOP berkenaan majlis pernikahan, pada esok (Selasa).

"Esok Menteri Hal Ehwal Agama akan bentangkan SOP pernikahan, bukan majlis kahwin. Kalau agama lain, mereka mendaftar di tempat pendaftaran agama mereka. Tapi bagi akad nikah pasangan Islam, SOP sama ada di rumah atau pejabat agama, esok akan dibentangkan... tapi tentang pernikahan bukan majlis perkahwinan besar-besaran," katanya lagi.

Untuk rekod, kerajaan pada Sabtu lalu mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri di semenanjung selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.

Hanya tiga negeri tidak terlibat dengan PKPB berkenaan iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain