TEMPOH empat minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang boleh dipendekkan kepada dua minggu jika lengkung jangkitan Covid-19 berjaya diratakan lebih awal. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, langkah mengehadkan pergerakan dari satu zon ke zon lain, daerah atau negeri adalah tindakan terbaik untuk membendung penularan virus, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 makin ganas... Kerajaan umum PKPB selama 4 minggu di seluruh Semenanjung kecuali 3 negeri, akan pertimbang PKPD di Sabah "Selagi ada pergerakan, berlaku pendedahan dan risiko kepada jangkitan. Tidak akan kembali kepada keadaan asal, sebab ini adalah norma baharu kerana virus itu sudah ada dalam komuniti. "Kita perlu hidup dengan virus dan kita perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan amalan dan pencegahan jangkitan untuk terus hidup," katanya pada sidang media pada Isnin petang. Beliau berkata ketika Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, yang menyaksikan semua sektor ditutup kecuali perkhidmatan penting dibenarkan, negara mengambil masa sekitar tiga bulan untuk membendung dan menangani virus tersebut. Oleh itu, beliau berkata dengan pengalaman kerajaan daripada pelaksanaan PKP sebelum ini, sangat penting untuk mengimbangi antara ekonomi dan mata pencarian dengan membenarkan sektor berkenaan beroperasi namun terdapat beberapa sekatan. Untuk rekod, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember depan. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!