POLIS sedang melakukan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, laporan polis itu dibuat seorang lelaki pada jam 6.50 petang Isnin. "Pengadu mendakwa dia melihat di Twitter dan Instagram gambar seorang Adun yang dikenali sebagai Young Syefura. "Gambar yang dimuat naik menunjukkan Adun berkenaan dan rakan-rakannya sedang berkelah di tepi pantai di Bagan Lalang, Selangor tanpa mematuhi SOP PKPB,"katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Fadzil berkata, pengadu kemudian melayari Instagram Young Syefura dan melihat ada sembilan gambar dimuat naik di lokasi berhampiran Pantai Bagan Lalang. "Menurut pengadu, Selangor kini berada dalam PKPB yang mana aktiviti tersebut pada ketika ini adalah tidak dibenarkan. "Lelaki itu juga mengatakan kejadian melibatkan ahli politik ini bukan kali yang pertama, hinggakan rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil terhadap mereka," katanya lagi. Fadzil menambah bahawa polis menerima dua laporan mengenai isu tersebut, di mana kedua-duanya dibuat di Sepang. Beliau memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!