PELAN infrastruktur digital negara yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA), diperkenalkan dengan tujuan untuk memberi kemudahan akses kepada rakyat Malaysia menerusi perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti, sekali gus membuka jalan bagi peralihan digital negara ke arah teknologi 5G. JENDELA, yang diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dilaksanakan secara berperingkat mulai 2021 hingga 2025, di bawah Rancangan Malaysia ke-12. Pelaksanaan tersebut diharap dapat memastikan penyampaian perkhidmatan 5G menjadi kenyataan menjelang 2022. Pengerusi MCMC, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, JENDELA melibatkan peruntukan kira-kira RM21 bilion dan ia meneruskan matlamat beberapa pelan terdahulu yang ditetapkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP). Menerusi artikel The Star (16 November), Fadhlullah Suhaimi dipetik sebagai berkata, pandemik COVID-19 telah mengubah gaya hidup dan penggunaan Internet masyarakat, di mana orang ramai kini menghabiskan sedikit waktu di pejabat dan sekolah, serta menggunakan volum data yang tinggi di kediaman masing-masing. Beliau mengaitkan sebahagiannya dengan penurunan kos perkhidmatan jalur lebar yang ketara sejak dua tahun kebelakangan ini. Tambah Fadhlullah Suhaimi, matlamat utama JENDELA adalah untuk meningkatkan hubungan 4G di negara ini. Walaupun rancangan telah dilakukan untuk mengembangkan capaian digital negara, pandemik COVID-19 membuatkan pelaksanaan strategi ini menjadi lebih penting. Ia menyebabkan peningkatan drastik terhadap penggunaan Internet apabila pembelajaran dan perniagaan di rumah membuatkan paradigma beralih ke kawasan perumahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pekerja perlu bekerja dari rumah. Tumpuan kini adalah untuk meningkatkan liputan jalur lebar dari 91.8 peratus hingga 96.9 peratus di penempatan penduduk dan kawasan kegiatan ekonomi, dan meningkatkan kelajuan dari 25 megabit sesaat (Mbps) kepada 35Mbps. Ini akan meliputi fasa pertama JENDELA yang mensasarkan untuk merangkumi 7.5 juta premis dengan akses ke jalur lebar berkelajuan gigabit menjelang 2022. Sepanjang proses tersebut, liputan rangkaian 3G akan memberi jalan untuk pengembangan 4G dan infrastruktur digital yang bersiap sedia untuk 5G. Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laporan New Straits Times, usaha-usaha untuk melaksanakan inisiatif JENDELA telahpun dimulakan. Muhyiddin dipetik sebagai berkata, sebanyak RM2.45 bilion akan diperuntukkan untuk Sabah, menjadikan negeri itu sebagai penerima terbesar bagi projek pembangunan infrastruktur berkenaan. Pelaksanaan inisiatif JENDELA akan menjadikan hubungan dan perkhidmatan jalur lebar di Sabah setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Langkah seterusnya adalah Fasa Kedua yang akan melihat kepada pencapaian 100 peratus liputan 4G pada kelajuan 100Mbps di mana sembilan juta premis dan lebih banyak menggunakan liputan 5G. Menerusi perkhidmatan generasi kelima yang baharu, seseorang dapat menikmati kelajuan tinggi, lebih banyak hubungan peranti dan latensi rendah. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan penggunaan mudah alih dan hiburan, tetapi merevolusikan komunikasi rakan setara dan membolehkan teknologi kenderaan tanpa pemandu atau autonomi (AV), teknologi Internet of Things (IoT) serta perubatan robotik yang dinaik taraf. Bagi mencapai matlamat itu, JENDELA memerlukan pandangan yang komprehensif daripada semua peta infrastruktur digital sedia ada dan yang dirancang melalui Sistem Pengurusan Infrastruktur Komunikasi (CIMS). Sehubungan itu, CIMS pada masa ini akan dipertingkatkan untuk memasukkan input daripada industri dan kerajaan. Peta JENDELA akan berfungsi untuk mengenal pasti jurang dalam infrastruktur digital, menangani masalah dalam jurang liputan dan kelajuan, dan mengoptimumkan penggunaan sumber, termasuk merancang perkongsian infrastruktur dan mengurangkan pertindanan. Beberapa inisiatif disarankan dalam Laporan Makmal Infrastruktur Digital Negara, termasuk proses pelaporan data yang diselaraskan di seluruh pihak berkepentingan penawaran dan permintaan, peningkatan sistem pengurusan infrastruktur komunikasi dan keperluan modal insan serta penambahbaikan dalam integriti data. Dalam rancangan Malaysia melangkah ke arah penggunaan 5G sepenuhnya, kita dapat melihat ekonomi yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global, dan melahirkan masyarakat berasaskan digital yang diperkayakan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!